23 March 2021

Berjaya Food rancang 12 cawangan baharu Starbucks

 Berjaya Food Bhd komited untuk membuka lebih banyak rangkaian makanan dan minuman di bawah kendaliannya, termasuk Starbucks di sebalik cabaran pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Food, Sydney Quays, berkata Starbucks terus menjadi rangkaian utama kumpulan walaupun dalam tempoh mencabar ketika ini, membuktikan orang ramai masih mempercayai jenama itu.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Starbucks bagi Malaysia dan Brunei berkata, kumpulan akan membuka 12 cawangan baharu Starbucks di Malaysia tahun ini termasuk cawangan pertamanya di Perlis dalam beberapa minggu akan datang.

Katanya, Starbucks adalah jenama utama bagi Berjaya Food dengan sumbangan sehingga 80 peratus kepada kumpulan dan akan kekal menjadi pemangkin utama pertumbuhan pendapatannya.



"Tahun ini, kumpulan optimis akan pulih berdasarkan situasi semasa. Sektor makanan dan minuman akan pantas meningkat kembali. Starbucks juga sentiasa menjadi jenama pilihan kepada orang ramai di Malaysia.

"Malah, kumpulan juga dalam perancangan awal dalam memperkenalkan platform e-dagang sendiri. Bagaimanapun, ia masih di peringkat cadangan dan tiada keputusan lagi ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran pembukaan rangkaian kedai terbaharu Starbucks di Tropicana Garden Mall (TGM) dekat sini, hari ini.

Rangkaian terbaharu itu juga adalah cawangan Starbucks Reserve ke-13 yang dibuka di Malaysia.

Starbucks Reserve adalah cawangan yang berbeza dengan menampilkan keunikan tersendiri selain mempunyai ruangan kedai yang lebih besar terbahagi kepada dalaman dan luaran.

Starbucks Reserve TGM mempunyai dua bar kaunter yang menyediakan pelbagai kopi buatan tangan selain rangkaian kopi sedia adanya.

Antara keunikan utama di Starbucks Reserve TGM adalah mural 'Wall Of Gratitude' yang mempamerkan gambar lebih daripada 200 petugas barisan hadapan.

Sementara itu, Tropicana Corporation Bhd optimis sektor peruncitan akan kembali pulih tahun ini pasca pandemik COVID-19 sekali gus meningkatkan kembali kadar kepenghunian pusat membeli belahnya, Tropicana Garden Mall (TGM).

Pengarah Urusan TGM, Andrew Ashvin, berkata pihaknya menyasarkan kadar penyewa di TGM akan meningkat kepada 80 peratus pada hujung tahun ini berbanding 43 peratus ketika ini.

Beliau berkata, pusat membeli belah akan kembali dikunjungi orang ramai dalam masa terdekat disebabkan peningkatan semula keyakinan terhadapan pandemik itu.

"Ketersediaan vaksin COVID-19 adalah petanda positif peningkatan semula kunjungan pusat membeli belah termasuk di TGM dalam tempoh terdekat.

"Kami yakin dengan peningkatan keyakinan orang ramai itu, sektor peruncitan akan turut melonjak dan membuatkan penyewa kembali bersedia membuka kedai.

"Malah, TGM akan menyediakan barisan penyewa terkemuka dan akan menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

 

Source: Berita Harian

0 comments:

Post a Comment