26 March 2021

Peralihan pengguna ke platform lain jejaskan Astro

 Peralihan pengguna kepada platform yang lebih murah seperti NJOI memberi kesan kepada pendapatan Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) pada suku keempat tahun kewangan 2021.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini turut memberi impak kepada Astro.

Firma penyelidikan itu berkata, ketika PKP, pengguna lebih memilih untuk mengekalkan aliran tunai atau menggunakan platform alternatif yang lebih murah sebagai langkah berhati-hati dalam menguruskan kewangan.

Katanya, ia menyaksikan pendapatan prabayar NJOI meningkat sebanyak 36 peratus suku ke suku disebabkan oleh pengembangan pek kandungan dan pengedaran, dengan menyasarkan segmen pelanggan yang mementingkan anggaran.

Sebaliknya, MIDF Research berkata, pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) bagi TV berbayar pula merosot 3.2 peratus kepada RM96.90 pada tahun kewangan 2021 berbanding RM100 pada tempoh sama tahun sebelumnya.

"Pendapatan suku keempat tahun kewangan 2021 Astro turun 9.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.11 bilion. 

"Pendapatan daripada segmen langganan dan pengiklananannya juga mencatatkan penurunan masing-masing pada RM797.5 juta (-10 peratus tahun ke tahun) dan RM83.9 juta (-12 peratus tahun ke tahun).

"Namun, seperti penyedia perkhidmatan TV yang lain, Astro berjaya mengimbangi jurang ini melalui pendapatan yang lebih tinggi dalam segmen membeli-belah di rumah," katanya.

MIDF Research berkata, segmen membeli belah di rumah Astro, Go Shop, dijangka akan terus memberi sokongan kepada prestasi kewangan kumpulan.

Katanya, ini berdasarkan kepada pertumbuhan sebanyak 10 peratus tahun ke tahun kepada RM110.5 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021.

"Segmen membeli belah di rumah diunjurkan terus mencatatkan lonjakan positif pada suku yang akan datang disebabkan ketibaan Ramadan dan Hari Raya," katanya.

Sumber: Berita Harian

 

0 comments:

Post a Comment