23 March 2021

Shahril bersara sebagai Presiden, CEO Sapura Energy

Tan Sri Shahril Shamsuddin akan bersara daripada Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) hari ini sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulannya.

Beliau akan digantikan oleh Datuk Mohd Anuar Taib yang mengambil alih pucuk pimpinan mulai 23 Mac, 2021.

Mohd Anuar yang menyertai Sapura Energy sebagai Pengarah Bebas pada Ogos, 2020 dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi dan CEO dilantik pada Oktober, 2020.

Pelan peralihan kepimpinan Sapura Energy diumumkan tahun lalu,  menjelang Shahril mencapai usia persaraan 60 tahun pada 22 Mac, 2021.

"Bagi pihak lembaga pengarah, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Shahril, visi dan kesungguhannya menjadikan Sapura Energy menjadi syarikat multinasional Malaysia yang mampu bersaing dan menang di peringkat antarabangsa," kata Pengerusi Sapura Energy, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Azhar berkata kepemimpinan Shahril telah membolehkan kumpulan itu berkembang daripada penggiat di peringkat tempatan bertukar kepada sebuah syarikat tenaga tersohor yang merangkumi seluruh nilai rantaian huluan dan wawasannya meletakkan asas bagi kumpulan itu untuk maju selain daripada minyak dan gas dan meneroka dalam bidang tenaga yang boleh diperbahrui.

Shahril menubuhkan Sapura Energy pada pertengahan tahun 1990-an, membangunkan kumpulan tersebut pada awalnya sebagai kontraktor 'diving' kepada sebuah syarikat tenaga bersepadu global.

Kumpulan itu menjalankan operasinya lebih daripada 20 negara dengan jumlah tenaga kerja di peringkat antarabangsa melebihi 11,000 orang daripada 37 kewarganegaraan, bekerja dan bekerjasama di 12 pusat operasi di seluruh dunia.

Rakyat Malaysia merangkumi sekitar 86 peratus dalam kumpulan pekerja mahirnya.

Sapura Energy telah menyumbang kira-kira RM89 bilion untuk ekonomi Malaysia sejak lima tahun lalu dengan lebih daripada RM15 bilion nilai kontrak diberikan kepada vendor tempatan.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, kumpulan itu membawa masuk lebih daripada AS$2 bilion dalam mata wang asing. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment